BEIJING: Parlimen China sedang mempertimbangkan untuk menggubal satu undang-undang bagi menghukum ibu bapa sekiranya anak mereka menunjukkan tingkah laku amat buruk atau melakukan jenayah.
Di bawah draf undang-undang itu, penjaga akan ditegur dan diperintah untuk menjalani program bimbingan pendidikan keluarga sekiranya pendakwa raya mendapati kanak-kanak dibawah jagaan mereka mempunyai tingkah laku amat buruk atau melakukan jenayah.
“Kami sedar terdapat banyak sebab untuk remaja berkelakuan buruk.
“Kurangnya atau pendidikan keluarga yang tidak sesuai dilihat sebagai salah satu punca utama,” kata jurucakap Suruhanjaya Hal Ehwal Perundangan dibawah Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zang Tiewei.
Draf undang-undang menggalakkan pendidikan keluarga akan dikaji dalam sesi Jawatankuasa Tetap NPC pada minggu ini.
Draf undang-undang itu antara lain turut menggesa ibu bapa untuk mengaturkan masa bagi anak-anak mereka berehat, bermain dan melakukan aktiviti senaman.
Beijing bertindak lebih tegas pada tahun ini dengan menangani ketagihan anak muda membabitkan permainan dalam talian hingga menyekat pemujaan `buta’ selebriti internet.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan mengehadkan waktu permainan bagi kanak-kanak bawah umur dengan hanya membenarkan mereka bermain permainan dalam talian selama sejam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. – REUTERS