Budak 12 tahun antara 247 disiasat jenayah penipuan - Utusan Malaysia

Budak 12 tahun antara 247 disiasat jenayah penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat 247 orang kerana disyaki terlibat dalam penipuan dan ‘keldai wang’ dalam lebih 640 kes dengan mangsa kerugian lebih S$3.9 juta.

Berita Mediacorp melaporkan, pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) dan tujuh divisyen polis menjalankan operasi dua minggu yang berakhir semalam.

Suspek terdiri daripada 163 lelaki dan 84 wanita berusia antara 12 dan 78 tahun, disiasat bagi kesalahan menipu, melakukan pengubahan wang haram atau menyediakan khidmat bayaran tanpa lesen.

Kes penipuan itu rata-rata meliputi penipuan cinta internet, penipuan e-dagang, penipuan menyamar sebagai pegawai China, pegawai pemerintah, penipuan e-mel perniagaan, penipuan pelaburan, penipuan tawaran pekerjaan dan pinjaman wang.

Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda. Mereka yang sabit kesalahan melakukan pengubahan wang haram pula boleh dipenjara hingga 10 tahun, denda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya.

Menjalankan perniagaan menyediakan sebarang jenis perkhidmatan bayaran di Singapura tanpa lesen boleh dikenakan denda hingga S$125,000, dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

“Polis mengambil pendirian tegas terhadap sesiapa yang mungkin terlibat dalam penipuan, dan pesalah akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” menurut polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN