NEW YORK: Legenda ahli gusti, Triple H dilaporkan selamat menjalani pembedahan jantung pada minggu lalu selepas mengalami serangan jantung.
Lapor Toronto Sun, Triple H atau nama sebenarnya, Paul Levesque dijangka pulih sepenuhnya selepas pembedahan dilakukan di Hospital Yale New Haven di Connecticut.
Seorang jurucakap WWE menerusi kenyataan mengesahkan perkara tersebut.
“Paul Levesque a.k.a Triple H selamat menjalani pembedahan minggu lalu berikutan serangan jantung.
“Ia berpunca daripada masalah genetik dan Levesque dijangka pulih sepenuhnya,” jelas kenyataan itu.
Bintang berusia 52 tahun itu merupakan salah seorang ahli gusti paling ikonik dalam sejarah WWE.
Beliau berkahwin dengan Stephanie McMahon yang merupakan anak perempuan pemilik WWE, Vince McMahon.
Triple H menyertai WWE pada 1996. – AGENSI










