Taliban makin rapuh, bakal tumbang? - Utusan Malaysia

Taliban makin rapuh, bakal tumbang?

SEORANG lelaki menjual belon di sebatang jalan di Kabul. Masa depan Afghanistan masih kabur selepas berpuluh tahun diselubungi konflik. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Taliban ketika ini menghadapi situasi sukar apabila berdepan banyak cabaran tidak dijangka selain masalah dalaman yang terus membelenggu pemerintahannya.

Perkara itu didedahkan Pembantu Kaunselor Kedutaan Afghanistan di Kuala Lumpur, Nasir Ahmad Yousefi menerusi kenyataan analisis secara eks­klusif kepada Utusan Malaysia semalam.

“Taliban secara jujurnya mula mengakui mengalami pelbagai permasalahan sama ada politik, ekonomi, keselamatan dan sosial yang jauh berbeza berbanding lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 15 Ogos lalu, seluruh dunia gempar apabila Taliban hanya dalam masa singkat berjaya menawan ibu kota, Kabul selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) di negara itu.

Afghanistan ditawan AS selepas insiden 11 September 2001 hasil propaganda presidennya ketika itu, George W. Bush ko­nonnya negara Asia Tengah itu menjadi pusat aktiviti pengganas Daesh.

Pada masa itu, Afghanistan diperintah Taliban sejak 1996 selepas berakhir perang saudara Mujahideen pasca Perjanjian Geneva 1988 setelah pengunduran misi tentera Kesatuan Soviet.

TIADA KEYAKINAN AWAM
Mengulas lanjut, Nasir berkata, berdasarkan pengamatan, beliau pesimis Taliban versi 2.0 pada kali ini tidak memiliki keupayaan menarik keyakinan awam dan pengiktirafan komuniti global.

“Dalam masa sama, Taliban amat terdesak memerlukan sumber kewangan yang mantap bagi menguruskan cabaran ekonomi dan mengelak iktisad Afghanistan daripada lumpuh,” katanya.

Malangnya, isu berkenaan tidak mungkin dapat diurus tanpa negara itu diperakui masyarakat antarabangsa de­ngan lebih AS$10 bilion aset Bank Pusat Afghanistan terletak di luar negara.

Jabatan Perbendaharaan AS dilaporkan tidak akan menarik balik sekatan dikenakan ke atas Taliban atau membenarkan kumpulan itu peluang akses kepada sistem kewangan sejagat.

Nasir merujuk senario negara itu ketika kali pertama dikuasai Taliban apabila segera diiktiraf jirannya, Pakistan selain Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa ada pun masalah.

Namun kali ini, belum ada negara yang secara terbuka menzahirkan pengiktirafan, walaupun China dan Rusia terus mengekalkan kedutaan masing-masing di Kabul atas faktor tertentu.

“Taliban juga difahamkan tidak tahu apa-apa langsung mengenai urusan pentadbiran negara yang cukup kompleks dan rumit kecuali berperang di lembah serta pergunungan,” jelas Nasir.

Dengan ketiadaan kemahiran dan pengalaman, mereka dijang­ka berdepan tugas getir membina semula Afghanistan yang sudah pun runtuh struktur politik, ekonomi dan sosialnya.

TENTANGAN DALAMAN
Memburukkan lagi senario, Taliban yang sebelum ini gigih melatih ramai militan al-Qaeda dan Daesh, dijangka ditentang kembali kumpulan itu di ba­nyak wilayah yang belum dikuasai­nya.

Nasir juga menyelar pe­mimpin Taliban yang gagal membentuk pentadbiran inklusif apabila cuma didominasi kaum Pashtu manakala 59 etnik lain langsung tidak diberi apa-apa peranan dalam Kabinet.

Ini berbeza ikrar oleh tokoh utamanya, Mullah Abdul Ghani Baradar dan jurucakapnya, Zabihullah Mujahid ketika pengumuman barisan 33 anggota Kabinet Taliban pada 7 September lalu.

“Natijahnya, difahamkan ada konflik dalaman apabila timbul persaingan antara puak di­pimpin Sirajuddin Haqqani dan Mullah Abdul Ghani sehingga tidak dapat dibendung lagi,” kata Nasir.

Laporan perpecahan serius itu turut dilaporkan perisikan Pakistan yang terpaksa dipanggil ‘campur tangan’ bagi me­leraikan kemelut namun jurang perbezaan sudah tidak dapat dibendung.

Sehubungan itu, beliau percaya senario politik Afghanistan dijangka boleh berubah dalam masa terdekat kecuali Taliban segera memulihkan kekuatan dan meraih kepercayaan dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×