MOSCOW: Presiden Vladimir Putin selesai menjalani kuarantin kendiri selepas beberapa anggota keselamatannya dijangkiti Covid-19 ketika dalam perjalanan ke Primorye dan wilayah Amur di timur jauh Rusia.
Menurut Sky News, selepas tamat kuarantin, Putin dilaporkan pergi bercuti di sebuah kawasan hutan bersama Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu.
Beberapa gambar menunjukkan Putin yang mengenakan pakaian kasual berjalan di padang rumput berlatarbelakangkan pemandangan gunung.
“Bukan sahaja mendaki tetapi Putin juga gemar memancing. Beliau kelihatan gembira ketika menunjukkan hasil tangkapan ikan di sebuah tasik berdekatan,” jelas laporan itu.
Rakaman video yang dikeluarkan Kremlin menunjukkan Putin memandu kenderaan amfibia menerusi sungai di wilayah tersebut.
Presiden Rusia itu dipaksa menjalani kuarantin kendiri selama beberapa hari selepas puluhan kakitangannya dijangkiti Covid-19.
Putin juga membatalkan lawatannya ke Tajikistan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan. – AGENSI










