NEW YORK: Penyanyi R&B, R. Kelly didapati bersalah atas sembilan pertuduhan jenayah seksual termasuk pemerasan dan pemerdagangan seks oleh juri Persekutuan dalam perbicaraan terhadap artis terkenal era 90-an itu.
Lapor Daily Mail, pendakwa raya mendakwa penyanyi itu mengeksploitasi statusnya sebagai bintang terkenal selama hampir 25 tahun untuk memikat wanita dan gadis bawah umur melakukan hubungan seks.
Barisan juri mencapai keputusan itu selepas perbincangan selama sembilan jam, dalam perbicaraan enam minggu yang menampilkan keterangan mengerikan.
Kelly, 54, atau nama sebenarnya, Robert Sylvester Kelly berdepan hukuman penjara hingga 100 tahun yang mana 20 tahun bagi pemerasan dan 10 tahun untuk setiap kesalahan pemerdagangan seks.
Mahkamah menetapkan 4 Mei tahun depan sebagai tarikh jatuh hukum.
Kelly ditahan tanpa jaminan sejak kes perbicaraannya di New York City pada Oktober 2019.
Para juri mula membincangkan tuduhan pemerasan dan pemerdagangan seks terhadap penyanyi itu pada Jumaat lalu di Brooklyn, selepas pendakwa raya dan peguam bela selesai hujan penutup mereka.
Pendakwa raya berkata, Kelly menjalankan kegiatan jenayah yang berpusat di Chicago selama hampir tiga dekad dengan ‘menyasarkan, mempersiapkan dan mengeksploitasi’ gadis, budak lelaki dan wanita untuk tujuan seks secara paksa dan penderaan mental.
Menurut beberapa saksi, Kelly menggunakan mereka sebagai pemuas nafsunya ketika mereka masih di bawah umur.
Bagaimanapun, penyanyi itu menafikan melakukan kesalahan tersebut.
Antara perbuatan dinyatakan ketika keterangan tersebut termasuk rasuah, penculikan, rogol secara paksaan, pengambilan dadah dan pornografi kanak-kanak.
Sementara itu, peguam yang mewakili tiga mangsa, Gloria Allred menyifatkan kes perbicaraan ini adalah paling buruk.
“Sepanjang 47 tahun berkhidmat sebagai peguam, kes pemangsa seksual membabitkan Kelly adalah yang terburuk,” katanya di luar mahkamah.










