SEOUL: Pasukan produksi Mnet Street Woman Fighter membuat permohonan maaf mengenai runut bunyi yang didakwa menyerupai bunyi azan di Mekah.
Runut bunyi itu digunakan semasa pengenalan bagi episod pertama Street Woman Fighter yang menampilkan seorang penyanyi kumpulan K-Pop.
Media sosial seperti Twitter dibanjiri kritikan oleh umat Islam sehingga topik #Mnetapologize menjadi sohor sejak malam tadi.
Hasil desakan orang ramai akhirnya menyebabkan pasukan produksi terpaksa akur dan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam Instagram rasmi mnet_dance.
Menurut Mnet, lagu yang digunakan adalah runut bunyi elektronik yang berdaftar dengan platform penstriman rasmi.
Pasukan produksi menyangkakan bunyi elektronik itu adalah lagu yang sesuai dijadikan sebagai latar belakang muzik program tersebut.
“Kami sama sekali tidak mempunyai sebarang niat lain. Kami secara jujur meminta maaf disebabkan rasa tidak selesa orang ramai yang menyifatkan bunyi tersebut spesifik dengan perkara tertentu,” katanya.
Bagi menghormati kritikan orang ramai, video itu akan dimuat naik semula selepas menggantikan muzik latar belakang baharu.
Mnet akan sentiasa mendengar pandangan orang ramai dari seluruh dunia.
Mnet adalah sebuah saluran muzik yang disiarkan dalam televisyen berbayar di Korea Selatan.
Sebelum itu, sebuah video menampilkan seorang wanita berpurdah mendakwa pihak produksi sengaja mengubah semula (remix) suara azan asal dalam video komersial tersebut.
Wanita itu mendakwa tindakan tersebut secara jelas menyentuh sensitiviti agama kerana azan tidak boleh digunakan bagi tujuan hiburan dan muzik.
Video penerangan wanita tersebut ditonton oleh seramai 94,400 warga maya dalam Twitter.










