SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang menggunakan produk penjagaan muka milik majikannya dan mengisi jag dengan air dari mangkuk tandas, dijatuhi hukuman penjara sebulan.
Lapor portal TODAY, Gozar Rose Magtanong yang mendakwa didera majikannya, mengaku bersalah atas dua tuduhan, melakukan perbuatan jahat dan penyelewengan harta secara tidak jujur.
Warga Filipina berusia 32 tahun itu bekerja untuk seorang pemastautin tetap Singapura bersama suaminya dan anak lelaki berusia dua tahun, di sebuah unit kondominium di sekitar Marine Parade.
Pada Jun tahun lalu, majikan Gozar menyedari krim kosmetik di bilik tidurnya semakin cepat habis berbanding kebiasaannya.
Majikan itu kemudian memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang menghala ke arah dapur dan bilik persalinan di bilik tidurnya.
Rakaman CCTV menunjukkan Gozar menggunakan krim kosmetik majikannya sebanyak 28 kali dari 29 Julai hingga 8 September tahun lalu.
Majikan Gozar kemudian membawa pembantu rumahnya ke Agensi Pekerjaan JPB dengan tujuan untuk menamatkan kontrak pekerjaannya.
Dalam satu soal siasat bersama pegawai perkhidmatan pelanggan agensi tersebut, Gozar mengaku meludah ke dalam jag yang diminum keluarga majikannya.
Gozar juga mengaku kerap mengisi jag dengan air dari mangkuk tandas.
Timbalan Pendakwa Raya, Grace Teo memberitahu mahkamah, Gozar mula melakukan semua perkara itu pada September 2019 tanpa sebab untuk berbuat demikian.










