NEW YORK: Ibu mengandung dinasihatkan hanya mengambil paracetamol jika perlu kerana pengambilan berlebihan boleh membahayakan perkembangan bayi dalam rahim.
Kajian terkini melibatkan lebih 90 saintis menunjukkan pengambilan pil itu boleh menyebabkan masalah perkembangan saraf seperti autisme dan kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD).
Saintis menjelaskan risiko lain boleh menyebabkan masalah kecerdasan minda (IQ) dan kemandulan.
Prof. David Kristensen dari University of Copenhagen berkata, ramai pakar berpandangan pengambilan paracetamol akan mengubah perkembangan janin.
Jelasnya, pil tersebut paling kerap diambil oleh ibu mengandung dengan dua daripada tiga wanita menggunakannya untuk menghilangkan rasa sakit atau demam.
Kenyataan konsensus yang diterbitkan hari ini meminta wanita hamil menggunakan ubat tahan sakit itu dengan kuantiti paling sedikit ketika diperlukan serta berjumpa ahli farmasi atau doktor mengenai sebarang masalah.
Bagaimanapun, Pakar Farmasi Pusat Perubatan Flinders, Dr. Luke Grzeskowiak yang tidak terlibat dalam kajian itu menjelaskan, tiada risiko yang jelas mengenai hal itu dan kebanyakan wanita yang mengambil pil itu semasa mengandung berada dalam keadaan baik.
“Majoriti 95 peratus wanita hamil yang mengambil pil itu mempunyai bayi yang sihat.
“Sekiranya ia menimbulkan masalah besar, kita akan mengetahuinya sekarang,” jelasnya.
Grzeskowiak mencadangkan kepada penyelidik supaya melakukan kajian yang lebih spesifik dan lebih baik terhadap pengambilan pil itu dalam kalangan wanita hamil. – AGENSI