AMSTERDAM: “Saya mahu berdepan dengan mereka, depan mata saya sendiri. Saya mahu mereka lihat betapa sakitnya kehilangan orang yang disayangi”.
Demikian tegas Jeanne Hornikx yang kehilangan anak perempuannya, Astrid, 31, dalam nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17, pada 2014.
Hornikx berkata demikian ketika diberikan peluang memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap empat suspek yang menembak jatuh pesawat itu, di Belanda kelmarin.
Astrid bersama teman lelakinya, Bart, 40, merupakan antara 298 orang terkorban dalam nahas berkenaan, ketika pesawat itu melalui ruang udara Ukraine.
Hornikx yang hadir dalam sidang mahkamah menunjukkan kepada para hakim tatu anaknya pada bahagian tangan yang membolehkan Astrid dikenal pasti.
“Saya ingin menatap muka suspek, agar mereka rasa bagaimana saya alami selama ini, rasa sakit dalam hati ini. Agar penderitaan kami ini, mereka dapat rasakan juga,” katanya seperti dilaporkan Reuters.

TINDAKAN KEJAM
Ahli keluarga dan saudara-mara mangsa nahas MH17, mengecam tindakan suspek sebagai ‘tak masuk akal dan kejam’ terhadap orang yang mereka sayangi sepanjang perbicaraan terhadap empat suspek berkenaan.
Perkara itu disimpulkan sepanjang tiga minggu keterangan daripada 90 waris mangsa dari lapan negara. Mereka memberitahu hakim mengenai kesan kehilangan itu terhadap kehidupan mereka dan harapan untuk keadilan dapat ditegakkan.
Pendakwaraya, Alwin Dam berkata, kebanyakan waris mengetengahkan isu mengenai jumlah maklumat yang salah dan teori konspirasi yang tersebar mengenai MH17 dan fakta bahawa tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab.
Keterangan waris dari Indonesia dibacakan dalam sidang itu dan menceritakan bagaimana mereka tidak dapat tidur ketika menunggu kepastian apakah ahli keluarga masing-masing berada di dalam pesawat tersebut pada 17 Julai 2014.
“Saya teliti setiap berita dan pagi itu sekitar pukul 8, saya melihat nama adik saya sebagai salah seorang mangsa. Saat itu, air mata saya tak berhenti, tak dapat ditahan lagi.
“Saya tak percaya dia pergi selamanya,” jelas keterangan seorang waris yang tidak didedahkan namanya dalam laporan yang dikirim kepada BBC News Indonesia.
Daripada 298 mangsa, 193 berasal dari Belanda, 43 dari Malaysia termasuk 15 anak kapal, 27 (Australia), 12 (Indonesia), 10 (Britain) dan selebihnya dari Belgium, Jerman, Filipina dan New Zealand.
TUDUHAN TERHADAP RUSIA
Kerajaan Belanda secara terbuka menuduh Rusia di sebalik serangan tersebut.
Rusia yang tetap berkeras tidak membiayai atau menyokong pemberontak pro-Rusia di Ukraine menolak untuk mengekstradisi suspek.
Keputusan mengenai MH17 akan dibuat pada akhir 2022.
Pendakwaraya Belanda menetapkan tiga warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine sebagai suspek utama yang mengangkut sistem peluru berpandu dan menembak jatuh pesawat berkenaan.
Suspek, Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Leonid Kharchenko dan Oleg Pulatov mula dibicarakan di Belanda tahun lalu, setelah kes dibawa ke mahkamah oleh pendakwaraya Belanda susulan siasatan antarabangsa.
Keempat-empat mereka disyaki menjadi anggota kumpulan pemisah pro-Rusia yang membantu pemberontak memerangi tentera di timur Ukraine.
Hanya seorang suspek iaitu Pulatov diwakili sekumpulan peguam bela dari Belanda.
Hakim Hendrik Steenhuis berkata, sidang dipenuhi dengan emosi ahli keluarga yang diberi peluang memberikan keterangan di mahkamah.
‘AKU MIMPI CARI AYAH’
Ahli keluarga pertama yang memberikan keterangan, awal bulan ini adalah Ria van der Steen. Bapa dan ibu tirinya merupakan mangsa tragedi itu.
Dalam sidangnya, Ria memberitahu, dia kerap dihantui mimpi buruk selepas peristiwa itu.
“Saya mimpi mencari ayah di sebalik serpihan-serpihan pesawat yang terbakar. Bau asap, api, bau kematian ada di mana-mana. Saya berteriak mencari ayah,” katanya penuh emosi.
Jelas Ria, bapanya dapat disahkan melalui serpihan kecil tulang tangan, hanya itu sahaja bahagian tubuh bapanya yang dapat ditemukan.
Keterangan seterusnya dari warga Australia, Vanessa Fizk, yang orang tuanya terkorban dalam nahas itu.
Melalui sidang video dari Australia, Fizk berkata: “Suspek perlu dihukum atas tindakan keji mereka”.










