JAKARTA: Ketua Persatuan Ahli Epidemiologi Indonesia (PAEI) Wilayah Papua, Hasmi berkata, terdapat beberapa cabaran dalam menangani Covid-19 di wilayah berkenaan.
Kompas melaporkan, jelas beliau, dari aspek budaya, masih banyak penduduk di Papua percaya Covid-19 berasal dari ‘semangat jahat’.
Malah jelas beliau, beberapa kumpulam masyarakat menggunakan simbol-simbol tertentu di rumah mereka yang dipercayai dapat menangkis roh jahat itu.
“Kepercayaan itu adalah kerana mereka sukar menerima keberadaan Covid-19 yang menular melalui pernafasan. Mereka juga sukar menerima pengetahuan baharu sehingga enggan menjalani prosedur kesihatan dan vaksinasi,” katanya.
Beliau memberitahu, cabaran lain ialah pemimpin agama yang menyatakan mereka tidak mempercayai Covid-19 ekoran dipengaruhi berita palsu.
“Terdapat 23 gereja yang bersatu menyatakan tidak percaya Covid-19 dan membakar pelitup muka,” katanya.