‘Mari bangkit lawan kemiskinan, rasuah’ - Utusan Malaysia

‘Mari bangkit lawan kemiskinan, rasuah’

MANNY PACQUIAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Pengalaman pernah merasai kemiskinan dan kehidupan susah sejak kecil menjadi pencetus kepada pe­tinju legenda, Manny Pacquiao bertekad melakukan perubahan dalam negara.

Bintang petinju terkenal itu menerusi satu kenyataan di Facebook menegaskan, Filipina perlu keluar daripada kepompong kemiskinan untuk terus bergerak ke hadapan.

Kelmarin, beliau mengumumkan untuk bertanding dalam Pilihanraya Presiden 2022.

“Saya dapat merasakan apa yang anda semua sedang melalui. Saya tahu betapa sukarnya cabaran terpaksa dihadapi dan juga sedar anda sudah penat.

“Kita perlu maju ke hadapan dan bangkit melawan kemiskinan,” katanya.

Ahli politik berusia 42 tahun itu berkata, Filipina memerlukan kerajaan yang mampu berkhidmat kepada rakyat de­ngan ketelusan dan integriti.

“Tiba masanya kewujudan sebuah kerajaan ‘bersih’ yang mana setiap wang akan digunakan untuk rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai dirinya, Pacquiao menyifatkannya sebagai seorang pejuang yang sebelum ini tidak pernah melawan sepanjang hidupnya.

Menurut beliau, Pacquiao yang dikenali umum sebagai petinju negara tiada bezanya dengan dirinya ketika ini bersama rakyat untuk menentang kemiskinan dan rasuah.

“Bagi saya, berbanding diri sendiri, kepentingan negara harus didahulukan,” katanya.

Juara dunia sebanyak lapan kali itu mungkin dicabar Sarah Duterte, anak perempuan Pre­siden Filipina, Rodrigo Duterte dalam pemilihan tersebut.

CNN melaporkan, dalam usaha memerangi rasuah, Pacquiao yang dahulunya sekutu dekat Duterte mendakwa, lebih daripada 10 bilion peso bantuan pandemik yang ditujukan untuk keluarga miskin tidak dijelaskan.

Tindakannya memerangi rasuah ‘menampakkan taring’ ketika Senat membuka siasatan terhadap tuduhan kerajaan membeli bekalan dan peralatan perubatan di bawah program tindak balas pandemik pada harga yang tidak munasabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN