BANGKOK: Pakar kesihatan di Thailand memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memakan cacing tanah mentah-mentah kerana dikhuatiri mengandungi bahan tercemar daripada telur parasit akibat kotoran yang melekat pada badan serangga itu.
Lapor Thaiger, amaran itu dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Thailand kerana boleh menyebabkan keracunan makanan dan cirit birit.
Peringatan itu diberikan susulan tular video dalam YouTube selepas seorang lelaki memakan cacing tanah mentah dengan salad pedas.
Lelaki itu mencampurkan serangga itu dengan sos ikan, serbuk cili, gula dan perahan limau.
Menerusi video sebelumnya, lelaki itu memberitahu sekiranya video yang dihasilkan mendapat 10,000 tanda suka, dia akan merakamkan aksinya memakan cacing tanah.