BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang lelaki mengaku bersalah di atas dua pertuduhan di hadapan Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman di Mahkamah Majistret di sini.
Pelita Brunei melaporkan, bagaimanapun hukuman terhadap tertuduh, Mohammad Rafi Ezamdie Muhammad Daud, 30, akan diperdengarkan esok melibatkan kes penemuan mayat baru-baru ini.
Tertuduh didapati melakukan penyelewengan secara tidak jujur terhadap harta orang yang sudah meninggal dunia, iaitu dengan mencuri seutas rantai emas, seutas gelang emas dan sebentuk cincin emas daripada mayat seorang wanita pada 3.30 petang, 7 Ogos lalu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, seorang lelaki (pengadu) membuat laporan polis mengenai penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah kereta Toyota Soluna.
Siasatan polis yang dijalankan ke atas mayat tersebut menunjukkan si mati adalah seorang wanita, Lai Nyuk Shian, 43, dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi Jalan Mumong, Kuala Balai, Belait.
Siasatan polis juga mendapati, lelaki yang telah memaklumkan mengenai mayat tersebut kepada si pengadu adalah tertuduh itu dan pada 14 Ogos lepas, tertuduh ditangkap.
Dalam pernyataannya kepada polis, tertuduh mengakui bahawa sekitar pukul 12.15 tengah hari pada 7 Ogos lalu, dia memandu kereta majikannya ke sebuah kebun di Jalan Mumong, Kuala Balai.
Semasa tiba di kebun tersebut, tertuduh melihat sebuah kenderaan Toyota Soluna diletakkan di tepi jalan, berhampiran kebun tersebut.
Tertuduh pun masuk ke kebun tersebut untuk mengambil beberapa buah-buahan untuk dijual. Selepas kira-kira sejam, tertuduh kemudian kembali keluar ke jalan utama.
Kira-kira pukiul 3.30 petang, tertuduh kembali semula ke laluan utama kebun dan melihat kereta Toyota Soluna tersebut masih lagi berada di lokasi yang sama.
Tertuduh terlihat ada seorang individu sedang tidur di dalam kenderaan tersebut dan tertuduh membunyikan hon kenderaan sebanyak tiga kali namun tiada tindak balas daripada individu di dalam kenderaan berkenaan.
Tertuduh kemudian membuat keputusan untuk turun dari kenderaannya dan memeriksa kenderaan tersebut.
Apabila tertuduh membuka pintu kenderaan Toyota Soluna tersebut, tertuduh melihat mayat seorang wanita terbaring di bahagian depan.
Tertuduh kemudiannya kembali semula ke kenderaan majikannya dan membunyikan hon sehingga pemilik kebun (pengadu) keluar di mana tertuduh memaklumkan pengadu mengenai penemuan tersebut.
Setelah itu, tertuduh kembali semula ke kenderaan Toyota Soluna tersebut dan memutuskan untuk mengambil barang kemas yang dipakai oleh si mati secara paksa.
Tertuduh juga bertindak membuka bonet kenderaan Toyota Soluna untuk mencari barang berharga.
Semasa tertuduh hendak kembali ke kenderaannya dengan barang kemas yang dicuri, tertuduh bertemu dengan si pengadu sekali lagi. Pengadu memberitahu tertuduh untuk melaporkan penemuan mayat itu kepada polis, yang mana hal tersebut dipersetujui oleh tertuduh.
Tertuduh kemudian segera pergi ke rumah rakannya di Kampung Pandan 8, Kuala Belait dan memberitahu rakan-rakannya mengenai penemuan tersebut, dan meminta pertolongan mereka untuk menemaninya menjual barang kemas itu.
Tertuduh dan rakan-rakannya kemudian pergi ke sebuah kedai perhiasan di Kuala Belait, di mana tertuduh menjual semua barang kemas emas tersebut dan menerima B$500 hasil penjualan barang berkenaan.
Dalam kenyataannya, tertuduh mengakui telah menghabiskan semua wang B$500 tersebut. Tertuduh membelanjakan B$299 untuk membeli telefon bimbit sebaik sahaja keluar dari kedai barang kemas.
Tertuduh menghabiskan sisa wang untuk makanan, ubat-ubatan, dan menghadiahkan B$50 kepada setiap tiga rakannya yang telah menemaninya dalam menjual barang kemas.
Tertuduh juga mengakui, walaupun dia telah memberitahu pengadu bahawa dia akan melaporkan penemuan mayat si mati kepada polis, namun dia tidak melakukannya.
Tertuduh menyatakan dia memilih untuk tidak memberikan maklumat mengenai penemuan mayat kepada polis kerana ditakuti pihak polis akan mengetahui bahawa dia telah mengambil barang kemas si mati.
Barang kemas yang telah dijual itu ditemukan polis di kedai barang kemas tersebut di Jalan Pretty, Kuala Belait, namun telah dileburkan oleh pemilik kedai semasa siasatan berkenaan.
Dengan mengeluarkan barang kemas secara paksa dari orang yang meninggal dunia dan selepas itu bertindak menjualnya, tertuduh melakukan kesalahan penyelewengan tidak jujur terhadap harta orang yang meninggal dunia di bawah Seksyen 404 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22.
Dengan tidak memberikan maklumat penemuan mayat si mati, tertuduh juga didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 176 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22.
Pada rekod terdahulu, tertuduh mempunyai dua sabitan sebelumnya atas kesalahan mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah, dan satu sabitan atas kesalahan mencuri di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali.










