NEW DELHI: Seorang lelaki dari Uttar Pradesh, India dilaporkan cuba menceraikan isterinya dalam tempoh dua tahun lalu hanya kerana wanita itu jarang mandi.
Lapor Oddity Central, masalah itu sering mencetuskan pertengkaran dalam rumah tangga mereka.
Menurut lelaki itu, dia berulang kali meminta isterinya mandi dengan lebih kerap namun setiap kali isu tersebut timbul, mereka akan bertengkar.
Akhirnya, lelaki itu melafazkan talak tiga untuk memutuskan perkahwinannya walaupun pasangan suami isteri tersebut mempunyai seorang anak berusia setahun.
“Semasa sesi kaunseling, lelaki itu berulang kali menyatakan mahu menamatkan hubungan dengan isterinya.
“Dia juga memberi permohonan kepada kami bagi membantunya untuk bercerai dengan isterinya kerana tak mandi setiap hari,” kata seorang kaunselor daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melindungi hak wanita.
Selepas mendapat tahu keputusan suaminya, wanita yang berasal dari kampung Kwarsi di Uttar Pradesh mendapatkan bantuan daripada Aligarh’s Women Protection Cell.
“Seorang wanita membuat aduan secara bertulis kepada kami bahawa suaminya melafazkan talak tiga kerana tak mandi setiap hari.
“Kami sedang memberi kaunseling kepada pasangan suami isteri itu agar dapat menyelamatkan perkahwinan mereka,” kata seorang wakil dari pertubuhan tersebut.
Menurut wakil itu, pihaknya sedang menasihatkan lelaki tersebut agar tidak memutuskan perkahwinan kerana ia merupakan masalah kecil yang boleh diselesaikan.
Disebabkan alasan perceraian yang dikemukakan tidak disenaraikan sebagai tindakan kekerasan atau jenayah terhadap wanita, maka aduan isteri kepada pertubuhan itu gagal diteruskan. – AGENSI










