RAMALLAH: Tentera Israel bertindak menahan penduduk Palestin sejak melancarkan operasi besar-besaran sebagai tindak balas terhadap tahanan yang meloloskan diri dari penjara sehingga memalukan negara haram itu, awal bulan lalu.
Berdasarkan data Jabatan Hal Ehwal Perundingan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan organisasi tahanan Palestin, Addameer, lebih 100 penduduk ditahan sejak kes berprofil tinggi melibatkan banduan Palestin dari Penjara Gilboa.
“Kita merekodkan secara purata sebanyak 14 tangkapan sehari di Tebing Barat. Angka itu tidak termasuk rakyat Palestin yang ditahan di Israel,” kata wakil Addameer, Milena Ansari kepada al-Jazeera.
Kesemua enam lelaki yang meloloskan diri itu ditahan semula, selepas dua daripada mereka menyerah diri kepada pihak tentera Israel di Bandar Jenin, Ahad lalu.
Israel melakukan serangan balas terhadap anggota keluarga tahanan dengan menangkap, menyoal siasat sebelum membebaskan beberapa orang semasa misi memburu kesemua tahanan di Ramallah, Hebron dan Nablus.
Dalam perkembangan sama, bilangan kanak-kanak yang ditangkap turut meningkat termasuk seorang remaja berusia 13 tahun, Mustafa Amira dari bandar Nilin berdekatan Ramallah.
Bapanya, Khalil Amira berkata, Mustafa dan sepupunya, Muhammad, 15, ditangkap dan dibelasah 10 tentera Israel pada waktu malam tanpa diberikan sebarang makanan atau minuman.
Menurut Paramedik Bulan Sabit Merah Palestin di el-Bireh, Ziad Abu Latifa, golongan pelajar juga menjadi sasaran tangkapan.










