PYONGYANG: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat sejauh 60 kilometer merentasi pantai timur negara itu, awal pagi tadi.
Lapor BBC, perkara itu disahkan oleh pihak tentera Korea Selatan.
Menurut Ketua Misi Bersama Korea Selatan, peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan pedalaman Korea Utara dan menghala ke bahagian timur perairan Jepun yang dikenali sebagai Laut Timur.
Disebabkan itu, pihaknya meletakkan tahap kesiapsiagaan sepenuhnya dan menjalinkan kerjasama erat dengan Amerika Syarikat (AS).
AS pula menjelaskan pelancaran senjata pemusnah itu tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada wilayah atau sekutu negara.
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga menyifatkan tindakan itu sebagai ‘keterlaluan’ kerana mengancam keamanan dan keselamatan di wilayah itu.
Pelancaran peluru berpandu itu merupakan ujian persenjataan kedua dalam tempoh hanya beberapa hari ujian peluru berpandu jarak jauh dilancarkan, hujung minggu lalu.
Dilaporkan, ujian pelancaran peluru berpandu itu diadakan pada hujung minggu ketika AS memperingati ulang tahun ke-20 insiden serangan 11 September.