Kita tak boleh ada hubungan dengan ‘Aparteid Israel’ – Mandla - Utusan Malaysia

Kita tak boleh ada hubungan dengan ‘Aparteid Israel’ – Mandla

AMERIKA Syarikat meluluskan peruntukan AS$1 bilion sebagai dana tambahan kepada sistem pertahanan Iron Dome Israel. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRETORIA: “Kita tidak boleh meneruskan hubungan dengan ‘Apartheid Israel’ yang terus mencabuli hak asasi penduduk Palestin”.

Demikian ditegaskan oleh Inkosi Zwelivelile Mandla, cucu lelaki kepada bekas pemimpin paling berpengaruh di Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Beliau mendesak kerajaan membatalkan status pemerhati kepada ‘Aparteid Israel’ di Kesa­tuan Afrika (AU) kerana hubu­ngan dengan ‘negara haram’ yang berterusan mencabuli hak Palestin sama sekali tidak boleh dinormalisasikan.

Desakan itu sebagai menyatakan sokongan terhadap Menteri Hubungan Antarabangsa, Naledi Pandor berhubung isu tersebut.

Jelas Mandla, tindakan rejim zionis termasuk memenjarakan, menyeksa orang awam tidak bersalah serta melanggar undang-undang antarabangsa dengan menjadikan bumi Pales­tin seperti di bawah ‘undang-undang mereka sendiri’.

INKOSI ZWELIVELILE MANDLA

“Kami menyokong gesaan itu kerana proses pemberian status pemerhati Israel adalah salah kerana Ketua Pesuruhjaya AU, Moussa Faki bertindak sebelah pihak dan tidak berunding de­ngan negara anggota atau Anggota Eksekutif AU,” jelasnya.

Menurut Mandla, pihaknya tidak dapat membayangkan ba­gaimana Afrika sendiri yang pernah menjadi mangsa penjajahan, penaklukan dan penindasan selama berabad-abad da­pat membenarkan tindakan ke­jam ber­terusan Israel di atas ta­nah Palestin sehingga berkembang menjadi penempatan haram.

“Kami menyeru warga Afrika di seluruh dunia dan diaspora keluar memprotes pemberian status pemerhati ‘Aparteid Israel’ di AU.

“Kita mesti melepaskan diri daripada keputusan sepihak untuk memberikan status pemerhati rejim tersebut.

“Kami minta pihak menteri memutuskan semua hubungan diplomatik dan mengarahkan duta Israel pulang, kerana kami mahu gerakan anti-aparteid global menyokong perjuangan adil ini,” tegasnya.

Mandla juga mahu warga Afrika Selatan yang berkhidmat dalam Pasukan Pertahanan Israel (IDF) diadili kerana jenayah perang dan melanggar Akta Bantuan Ketenteraan Asing Afrika Selatan

kerana jelas me­langgar hak asasi manusia terhadap pen­duduk Palestin di pusat pe­meriksaan setiap hari.

‘IRON DOME’ TERUS MENYALA
Sementara itu, Dewan Perwakilan AS meluluskan peruntukan AS$1 bilion (RM4 bilion) sebagai dana tambahan kepada sistem pertahanan Iron Dome Israel selepas kontroversi selama beberapa hari.

Rang Undang-Undang (RUU) tersebut diluluskan dengan undi majoriti 420 ahli perwakilan dan bertambah sembilan undian pada Khamis, sekali gus menyaksikan peningkatan sokongan signifikan AS terhadap Israel.

RUU itu akan dibawa ke Dewan Senat yang dijangka diluluskan dengan mudah sebelum ditandatangani Presiden AS, Joe Biden yang pernah memberikan isyarat sokongan terhadap bantuan tambahan tersebut.

Langkah itu dilaksanakan ketika perdebatan hangat me­ngenai sokongan AS terhadap Israel serta pertambahan bila­ngan sua­ra dalam Kongres yang menyeru Biden memberikan bantuan kepada Israel.

Awal minggu ini, penambahan dana Iron Dome dari RUU berbeza menimbulkan pertikaian­ di Washington.

Peruntukan bilion dolar itu pertama kali dibentangkan Selasa lalu, menerusi pembentangan RUU Dewan Perwakilan yang dicadangkan bertujuan menyediakan dana kecemasan jangka pendek.
Namun, pada waktu petang hari sama, RUU itu dikeluarkan tanpa sebarang penjelasan.

Media AS melaporkan penggubal undang-undang progresif bertanggungjawab mengecua­likan dana untuk Israel daripada RUU tersebut.

Presiden Yayasan Perda­mai­an Asia Barat (FMEP), Lara Friedman berkata, adalah ‘aneh’ memasukkan bantuan AS$1 bi­lion kepada Israel menerusi RUU umum yang dirancang untuk membolehkan pemerintah AS terus berkuasa.

Jelasnya, pemimpin Demo­krat ingin ‘mengelakkan’ perbincangan dan perdebatan yang disertakan proses perundangan khas dengan memasukkan bantuan untuk Israel dalam RUU pendanaan jangka pendek.

Penyokong dana tambahan itu memaklumkan bantuan itu bertujuan ‘mengisi kembali’ bateri Iron Dome selepas pertempuran di Gaza, baru-baru ini.

Israel menerima bantuan ketenteraan berjumlah AS$3.8 bi­lion (RM15.2 bilion) setiap tahun menerusi memorandum persefahaman (MoU) 10 tahun yang ditandatangani oleh Barack Obama pada 2016.

Daripada jumlah itu, AS$500 juta (RM2 bilion) digunakan untuk sistem pertahanan peluru berpandu setiap tahun.

Tahun lalu, Kongres AS memberikan dana AS$73 juta (RM295 juta) untuk Iron Dome secara khusus daripada beberapa program pertahanan peluru berpandu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya