‘Keluar dari sini, Hillary seorang penjenayah perang’ - Utusan Malaysia

‘Keluar dari sini, Hillary seorang penjenayah perang’

HILLARY Clinton ketika menghadiri majlis pelantikannya sebagai Canselor Queen’s University di Belfast, Ireland Utara. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELFAST: Bekas calon Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dilantik sebagai Canselor di Queen’s University di Belfast, Ireland Uta­ra, sekali gus menjadi wanita pertama menyandang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, pelantikannya dikritik hebat apabila sekumpulan individu yang berkumpul di luar universiti berkenaan, menjerit menggelar bekas wanita pertama, Senator dan Setiausaha Negara itu sebagai ‘penjenayah perang’.

Lapor RT News, Hillary dilantik mengisi jawatan ter­tinggi di universiti awam yang ditubuhkan sejak 1840-an itu, Jumaat lalu.

Hillary sebenarnya dilantik untuk tempoh lima tahun pada tahun lalu, namun pelantikannya ke jawatan itu terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Teriakan penunjuk pe­rasaan antaranya ‘Queen’s perlu berasa malu’, ‘Kamu harus rasa malu’ dan ‘Penjenayah perang mesti keluar, keluar, keluar’ kedengaran di luar pintu pagar universiti ketika Hillary bersama seorang kanak-kanak kecil yang me­ngangkat jubahnya, memasuki ke bangunan tersebut.

Bagi penunjuk perasaan, Hillary merupakan ‘penjenayah perang’ yang bertanggungjawab ke atas kemusnahan Libya pada 2011 ketika beliau memimpin Jabatan Negara AS semasa pemerintahan bekas Presiden, Barrack Obama.

Namun Presiden dan Naib Canselor Queen’s University, Ian Greer menyifatkan Hillary sebagai seorang penjawat awam diiktiraf di peringkat antarabangsa yang menunjukkan komitmen lama kepada Ireland Utara.

“Kami gembira beliau dapat melakukan perjalanan ke Belfast untuk menghadiri upacara pelantikan sebagai Canselor ke-11 universiti ini,” katanya.

Sebelum ini, Hillary dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh universiti berkenaan pada 2018 sebagai penghargaannya dalam perkhid­matan awam di AS dan peringkat global serta sumbangannya memfokus kepada keamanan dan perda­maian di Ireland Utara.

Sementara itu, Hillary ketika di majlis pelantikan berkata, Ireland Utara kini menjadi simbol kuasa demokrasi untuk menangani perpecahan dan menyampaikan keamanan.

“Kita memerlukan sinar harapan itu ketika ini berbanding sebelumnya.

“Saya berharap dapat memberi inspirasi dan mendorong pelajar universiti ini untuk menyumbang sebaik mungkin kepada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, bekas Presiden AS, George W. Bush menjadi mangsa apabila dijerit dan dilabel sebagai pembohong oleh bekas tentera yang pernah ditugaskan di Iraq pada 2003 ketika menyampaikan ucapan dalam forum di California.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN