JAKARTA: Pemangku Ketua Umum Dewan Pimpinan Pusat Parti Solidaritas Indonesia (PSI), Giring Ganesha mendakwa Gabenor Jakarta, Anies Baswedan sebagai pembohong.
CNN Indonesia melaporkan, Giring yang cukup terkenal ketika bersama band Nidji berkata, ini kerana Anies sering menggambarkan dirinya seorang tokoh yang berpura-pura peduli di tengah penderitaan rakyat ketika Covid-19.
Untuk itu Giring berharap agar Indonesia tidak jatuh ke tangan Anies ketika Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 kerana memiliki sikap sedemikian.
“Berpura-pura peduli adalah pembohongan Anies di tengah-tengah pandemik dan penderitaan rakyat.
“Kita harus ingat jejak pendusta ini, sebagai bahan pertimbangan selama pemilihan Presiden 2024. Jangan biarkan Indonesia jatuh ke tangan pembohong, jangan biarkan Indonesia jatuh ke tangan Anies Baswedan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Giring menilai bahawa Anies selalu menampakkan sikap kepedulian terhadap penderitaan rakyat semasa Covid-19 hanya di depan media.
Namun, Giring mengajak orang ramai untuk menilai keprihatinan Anies ketika membelanjakan wang rakyat semasa wabak tersebut melanda.
Beliau mendakwa, Anies telah mengabaikan tekanan rakyat yang meminta membatalkan rancangan perlumbaan kereta Formula E dan menggunakan peruntukan 1 triliun rupiah.
Dakwanya, bayaran pendahuluan untuk acara Formula E dibayar oleh Anies ketika kerajaan mengisytiharkan negara ini sebagai darurat wabak.
“Anggaran Pendapatan dan Belanja Daerah (APBD) Jakarta yang begitu besar dibelanjakan untuk kepentingan ego peribadinya demi maju sebagai calon Presiden pada 2024.
“Pemimpin itu menghabiskan 1 triliun rupiah walhal rakyat terlantar tidak dapat masuk menerima rawatan di hospital yang penuh. Rakyat mengalami kesukaran untuk belanja makan kerana mereka kehilangan pekerjaan,” tambahnya.
Dalam situasi krisis, kata Giring, seorang pemimpin mesti bekerja keras untuk menyelamatkan rakyat dan prinsip mengutamakan kepentingan rakyat adalah langkah penting yang perlu diambil oleh pemimpin.
“Gabenor (Anies) bukanlah contoh seseorang yang dapat mengatasi krisis,” kata Giring.
CNN Indonesia cuba mendapatkan respons daripada Naib Gabenor, Ahmad Riza Patria mengenai dakwaan Giring namun tiada jawapan.










