JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan warga kerja kerajaan untuk bersama menggerakkan komitmen menurunkan jumlah jangkitan Covid-19 di bawah 3,000 kes sehari.
Arahan itu bagi mengelak berlakunya gelombang ketiga pandemik di negara ini.
CNN Indonesia melaporkan, pesanan Jokowi itu disampaikan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan dalam sidang akhbar semalam.
Menurut beliau, langkah tersebut merujuk kepada hasil kajian berjudul ‘Penjelasan Kedinamikan Gelombang Pandemik: Bagaimana Untuk ‘Menjinakkan’ Gelombang Penyakit Berjangkit’.
“Dalam kajian itu, disarankan agar jumlah kes dikekang pada kadar 10 kes per juta penduduk sehari atau di Indonesia sekitar 2,700 atau 3,000 kes. Kita mampu melakukannya,” katanya.
Beliau optimis perkara itu dapat dicapai jika keadaan semasa dapat dikekalkan.
Menurutnya, jumlah jangkitan Covid-19 setiap hari pada masa ini adalah sekitar 2,000.
Arahan Jokowi mengenai mengekang gelombang ketiga Covid-19 turut diperjelaskan Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto dengan Presiden mahu semua pihak memberikan tumpuan kepada wilayah yang mencatatkan kadar vaksinasi rendah.
Menurutnya, perkara itu merujuk kepada wilayah Sumatera Barat dan Lampung.










