Dana bangun desa jadi lubuk rasuah - Utusan Malaysia

Dana bangun desa jadi lubuk rasuah

PESERTA demonstrasi berhimpun mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap pelaku rasuah di Malang, Jawa Timur. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia Corruption Watch (ICW) menyatakan belanjawan yang dikhususkan kepada dana desa adalah yang paling banyak ‘diserang’ de­ngan gejala rasuah.

CNN Indonesia melaporkan, untuk itu dalam separuh pertama tahun ini, pemerintah desa dijangka menjadi pelaku kes rasuah terbesar.

Penyelidik ICW, Lalola Easter berkata, dalam tempoh itu terdapat 62 kes rasuah yang dilakukan oleh pegawai pemerintah desa.

Jelasnya, ini diikuti peme­rintah daerah dan pemerintah kota, masing-masing dengan 60 dan 17 kes.

Angka-angka yang tidak menurun dari semasa ke semasa itu membuatkannya mendesak kerajaan mereformasi birokrasi bagi mencegah rasuah.

“Dari segi perspektif sektor, pelaku yang melakukan ke­salahan rasuah paling banyak atau yang disebut sebagai suspek pada separuh pertama tahun ini adalah pegawai desa,” katanya.

Easter mendesak pemerintah memperketat pengawasan terhadap pegawai desa de­ngan anggaran belanjawan untuk pembangunan desa adalah cukup hebat iaitu sekitar 72 trilion rupiah.

Beliau berkata, selain bajet itu, dalam tempoh sama ICW mencatatkan lima kes penya­lahgunaan belanjawan pe­ngendalian Covid-19.

Kes pertama yang dicatatkan adalah melibatkan pero­lehan 15,000 pelitup muka di wilayah Banten yang menelan belanja 1.6 bilion rupiah manakala kes kedua, dakwaan rasuah perolehan peralatan kecemasan di Ban­dung Barat.

Dakwaan itu melibatkan Ketua Daerah, Aa Umbara.

Kes ketiga pula melibatkan pemotongan dana bantuan sosial di Kampung Cipinang, Bogor dan kes keempat adalah pemotongan Bantuan Langsung Tunai (BLT) di Kampung Totok, Nusa Tenggara Timur.

Dalam kes kelima, ia melibatkan penyalahgunaan belanjawan Covid-19 di Mamberamo Raya yang dikaitkan dengan Ketua Daerahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN