BEIJING: China sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilaporkan melaksanakan pendekatan membendung kegiatan kumpulan pelampau yang didakwa `berpusat’ di wilayah Xinjiang.
Namun, pada masa yang sama, China juga menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan Afghanistan selepas kumpulan Taliban menguasai negara itu.
Usaha diplomatik yang cuba dijalinkan bagi melindungi kepentingan China di Asia Tengah, akhirnya mendedahkan pemikiran strategik dan pragmatisme politik Beijing.
Seorang pensyarah politik dari University of Manchester, David R. Stroup mengkaji beberapa liputan berita media negara itu mengenai Islam dalam artikel yang disiarkan di Nations dan Nationalism pada Julai lalu.
Berdasarkan sampel 70 artikel yang disiarkan di People’s Daily antara tahun 2014 hingga 2018, Stroup mendapati liputan berita yang menekankan identiti etnik Islam seperti Hui dan Uighurs merendahkan agama mereka.
Jelas Stroup, artikel itu juga mengetengahkan identiti masyarakat Islam di luar negara dengan cubaan untuk mengaitkan hubungan mereka dengan gerakan ekstremis yang dianggap sebagai ancaman bagi China.
“Gambaran media terhadap penganut Islam di luar negara dan agama itu sendiri kononnya berbahaya secara tidak langsung menimbulkan syak wasangka terhadap kepercayaan agama atau tingkah laku di luar agama pada penduduk Islam di China,” jelas Stroup.
Tambah Stroup, gambaran demikian terhadap orang Islam juga menyebabkan peningkatan sentimen Islamofobia dalam kalangan penduduk etnik Han di China sejak 2014.
Jelas beliau, tindakan itu juga mewujudkan kepercayaan kononnya insiden berkaitan ekstremisme agama dalam kalangan masyarakat China didorong oleh pihak luar.
“Dua contoh insiden itu yang berlaku pada tahun 2017 adalah seorang wanita etnik Hui dari Kunming menyiarkan gambar dirinya bersama rakan-rakan yang memakai hijab di laman WeChat sehingga mencetuskan banyak komen berunsur kebencian.
“Satu lagi berhubung rancangan komuniti untuk membina sebuah masjid di Hefei di wilayah Anhui sehingga dikecam di laman media sosial,” katanya.
* UIGHUR DITINDAS
Menurut kumpulan hak asasi manusia dan jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai sejuta penduduk etnik Uighur Islam diseksa dan dipaksa menjadi buruh.
Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia juga mendakwa penduduk etnik Uighur dan minoriti Islam lain ditahan di kem tahanan di wilayah Xinjiang.
China bagaimanapun mempertahankan pusat tahanan itu dengan mendakwa ia diperlukan untuk membendung pandangan kumpulan pelampau.
Beijing juga mendakwa kem tahanan itu berperanan sebagai pusat latihan vokasional yang membantu menangani kemiskinan dan meningkatkan peluang pekerjaan.
Seorang penyelidik kanan di Pusat Soufan yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), Colin Clarke berkata, dasar China di Xinjiang mempengaruhi cara rakyat negara itu melihat penduduk Islam.
“Saya tidak yakin China berusaha untuk mencapai perpaduan sosial. Mereka menghantar penduduk etnik dan agama minoriti ke kem tahanan dan menindas hak asasi mereka,” katanya.
Selain di Xinjiang, komuniti Islam lain juga berdepan pelbagai sekatan seperi penduduk etnik Hui dan Dongxiang dilarang mempelajari bahasa Arab. – AGENSI