China kawal ketat industri hiburan, gaji artis turut dipantau - Utusan Malaysia

China kawal ketat industri hiburan, gaji artis turut dipantau

PELAKON wanita popular China, Zheng Shuang pernah terpalit kontroversi mengenai dakwaan membiarkan anak yang baru dilahirkan selepas hubungan dengan teman lelaki terputus. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China melancarkan tindakan tegas terhadap industri hiburan negara selepas memberi arahan kepada syarikat penyiaran supaya melarang penglibatan artis dengan ‘haluan politik yang salah’ dan mahu ‘suasana patriotik’ dipupuk. 

The National Radio and Television Administration (NRTA) menerusi pemberitahuan dalam talian berkata, pihaknya akan menguatkuasakan peraturan mengenai program budaya untuk mengawal kandungan tidak sihat, gaji artis dan mengelak pembayaran cukai.

Menurut NRTA, peraturan yang mengehadkan pembayaran gaji untuk pelakon perlu diperketatkan dan mereka perlu menyertai program kesejahteraan awam serta memikul tanggungjawab sosial. 

Golongan selebriti yang mengelak membayar cukai juga perlu dihukum tegas. 

Pemilihan pelakon dan tetamu undangan perlu dikendalikan dengan teliti berdasarkan literasi politik dan tingkah laku moral sebagai kriteria utama. 

Budaya peminat yang tidak sihat harus dihapuskan dan segmen program berasaskan pengundian dikawal ketat.

Peminat juga akan dilarang membelanjakan wang semata-mata melakukan pengundian menerusi program tertentu.  

China mempunyai peraturan ketat mengenai kandungan video, filem dan muzik serta akan menapis sebarang kandungan yang melanggar nilai sosialis selepas industri hiburan terpalit dengan skandal selebriti yang mengelak membayar cukai dan serangan seksual. 

Pihak berkuasa dan beberapa media sebelum ini mengkritik pelakon lelaki yang gemar membuat penampilan seperti wanita.   

Pihak berkuasa China memperketatkan pengawasan terhadap sejumlah besar industri daripada teknologi hingga pendidikan bagi memperkukuh penguasaan terhadap masyarakat dan sektor utama ekonomi. 

Isnin lalu, kerajaan negara itu memperkenalkan peraturan baharu yang mengehadkan jumlah masa untuk kanak-kanak bermain permainan video dalam talian.- REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN