Beranikah AS tutup Guantanamo? - Utusan Malaysia

Beranikah AS tutup Guantanamo?

PESERTA demonstrasi memakai kostum banduan Teluk Guantanamo semasa berhimpun di bangunan Capitol, Washington. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebenarnya mewarisi legasi pemerintahan lama dengan mengulang semula tragedi 11 September.

AP melaporkan, walaupun beliau dilihat idealistik apabila mengambil keputusan menamatkan peperangan di Afghanistan, namun hingga saat ini, Biden belum mengambil sebarang keputusan mengenai pusat tahanan Teluk Guantanamo.

White House memaklumkan, negara itu berniat menutup penjara di pangkalan AS di Cuba yang dibuka sejak Januari 2002.

Sehingga kini, seramai 39 tahanan belum dihadapkan de­ngan sebarang pertuduhan jenayah.

Bagaimana dan bilakah pentadbiran negara akan melaksa­nakan rancangan itu belum jelas, walaupun tindakan membebaskan seorang banduan dan lima individu lain yang disenaraikan bakal bebas memberi isyarat penjara itu akan ditutup.

Seorang peguam yang pernah mengunjungi Teluk Guantanamo sebanyak 40 kali, Clive Stafford Smith berkata, Biden sekurang-kurangnya sudah berkata benar dan memberikan harapan kepada orang lain.

“Harapan adalah perkara berbahaya kerana mudah dihancurkan. Namun, dalam masa sama, sekurang-kurangnya mereka mempunyai harapan dan itu sudah cukup bagus,” jelasnya.

KONFLIK GUANTANAMO
Seperti isu Afghanistan, Biden berdepan tugas mencabar untuk menutup Guantanamo.

Cadangan penutupan penjara itu adalah janji yang pernah diikrarkan oleh bekas Presiden AS, Barack Obama, namun, akhir­nya gagal dilaksanakan.

Bagaimanapun, selepas Do­nald Trump mengambil alih negara, hasrat itu langsung diabaikan kerana dia sememangnya berjanji untuk ‘menempatkan beberapa orang jahat’ ke dalam penjara itu.

Persoalan yang akan sentiasa berlegar apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan AS terhadap beberapa tahanan di Guantanamo termasuk berpuluh-puluh yang belum layak dibebaskan?

Antara tahanan tersebut ialah Khalid Shaikh Mohammad, seorang figura kanan al-Qaeda yang dilabelkan sebagai dalang serangan 9/11.

Dia berdepan perbicaraan oleh suruhanjaya tentera dengan empat defendan di mahkamah pengadilan keselamatan tinggi yang dibina khas lebih sembilan tahun lalu.

Khalid dan defendan lain akan dibawa ke mahkamah buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 bermula bagi menghadiri sesi perbicaraan yang akan diadili oleh hakim baharu, Kolonel Tentera Udara, Matthew McCall.

Sesi perbicaraan pra-sidang kali ke-42 itu bermula sejak perbicaraan berlangsung Mei 2012.

Sementara itu, banduan pa­ling tua yang merupakan rakyat Pakistan akan dibebaskan Mei depan.

Lelaki berusia 74 tahun itu menghidap penyakit jantung dan penyakit lain.

Dalam masa sama, beberapa banduan lain mempunyai masalah kesihatan mental dan fizikal.

Sejak Guantanamo dibuka, seramai sembilan banduan maut, dengan dua daripadanya akibat kes semula jadi dan tujuh kes bunuh diri.

TIADA GARIS MASA
Pentadbiran Biden enggan memberikan sebarang komen mengenai janji untuk menutup ‘rumah hantu’ Guantanamo.

Setiausaha Akhbar Presiden, Jen Psaki pernah memaklumkan AS tidak mempunyai sebarang garis masa ketika ditanya oleh wartawan mengenai penutupan Guantanamo, Julai lalu.

“Seperti yang anda maklum, terdapat pelbagai lapisan proses. Menutup Guantanamo masih menjadi tujuan kami akan mempertimbangkan semua jalan yang ada untuk memindahkan tahanan secara bertanggungjawab,” katanya.

Ramai berpandangan penyelesaian paling mudah adalah memindahkan kes melibatkan 10 tahanan yang dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan AS dan berusaha mencari jalan memindahkan atau membebaskan tahanan lain.

Dalam pada itu, Wisma Putra baru-baru ini melaporkan, kerajaan memantau perkembangan dua rakyat Malaysia yang dihadapkan di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut AS, Teluk Guantanamo.

Ini membabitkan Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang dihadapkan ke mahkamah itu berhubung insiden pengeboman di Bali, Indonesia, kira-kira 19 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN