JAKARTA: Penurunan kes Covid-19 di Indonesia disumbangkan banyak faktor termasuk sinergi antara pemerintah dengan rakyat dalam mematuhi peraturan sepanjang Penguatkuasaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) dilaksanakan.
Lapor CNN Indonesia, Pengarah Pencegahan Pengendalian Penyakit Berjangkit (P2PML), Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, sokongan dan kerjasama antara pemerintah dan rakyat turut disokong oleh ahli epidemiologi, organisasi profesional dan organisasi masyarakat.
Jelasnya, strategi dan tindak balas cepat daripada fasiliti kesihatan dan pusat kuarantin serta komitmen petugas kesihatan menyumbang kepada penurunan jumlah pesakit di hospital dan jumlah pesakit sembuh turut meningkat.
Malah beliau memberitahu, strategi itu termasuk tambahan katil dalam jabatan kecemasan, pembinaan hospital kecemasan dan pengambilan petugas kesihatan semasa kes jangkitan Covid-19 sedang tinggi.
“Walaupun berdepan dengan risiko jangkitan yang tinggi dan kes semakin bertambah, namun, petugas kesihatan masih komited dan memberikan usaha terbaik kepada pesakit.
“Malah, kita dapat melihat ramai sukarelawan masyarakat turut memberikan sokongan penuh kepada individu yang menjalani kuarantin kendiri di rumah,” jelasnya.
Beliau mengulas mengenai kenyataan ahli Parlimen Malaysia yang membuat perbandingan penurunan kes Covid-19 di Indonesia dalam beberapa minggu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberitahu kes di negara ini menurun sebanyak 10,000 kes selepas mencecah kes tertinggi melebihi 56,000 dalam sehari.
Siti Nadia yang juga jurucakap Vaksinasi Covid-19 berkata, program vaksinasi yang efektif membantu negara membendung jangkitan wabak dalam kalangan masyarakat.