JAKARTA: Aplikasi Indonesia Health Alert Card (eHAC) didapati tidak mempunyai privasi dan protokol keselamatan data sehingga menyebabkan lebih sejuta data peribadi pengguna bocor.
Aplikasi eHAC dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan sejak tahun lalu dan pengkaji dari penyedia ‘encryption’ vpnMentor, Noam Rotem dan Ran Locar mendapati kebocoran data melibatkan 266 hospital dan klinik di seluruh Indonesia.
Lapor Tribunnews, data peribadi itu melibatkan nombor kad pengenalan, pasport, keputusan ujian Covid-19, alamat, nombor telefon, nama, pekerjaan dan gambar pengguna.
Mereka juga menemukan nama individu yang bertanggungjawab menjalankan ujian terhadap pelancong dan nama doktor.
Disebabkan masalah itu, pihak kementerian menerusi kenyataan rasmi meminta kepada semua pengguna aplikasi eHAC versi lama supaya menghapuskan segera aplikasi tersebut.
Anas Ma’ruf, seorang pegawai Kementerian Kesihatan yang menyelia data berkata, kelemahan berpotensi itu ada pada versi aplikasi sebelumnya, yang tidak digunakan lagi sejak Julai lalu.
“Sekarang, kami sedang menyiasat kerana eHAC dari versi lama berbeza dengan sistem eHAC yang merupakan sebahagian daripada aplikasi baharu,” katanya.
Sistem eHAC sekarang adalah sebahagian daripada aplikasi Peduli Lindungi, yang dipromosikan pemerintah untuk pelbagai tujuan pengesanan, termasuk untuk kemasukan ke pusat beli-belah.