219 orang termasuk remaja berusia 16 tahun disiasat terlibat pinjaman tanpa lesen - Utusan Malaysia

219 orang termasuk remaja berusia 16 tahun disiasat terlibat pinjaman tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seramai 219 orang disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemiutang haram.

Mereka berusia antara 16 dengan 69 tahun, kata polis dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Serbuan serentak di seluruh negara dilakukan semasa satu operasi ke atas pinjaman tanpa lesen dijalankan antara 23 Ogos dan 3 September oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan tujuh divisyen darat polis.

Siasatan awal menunjukkan 11 suspek dipercayai melakukan gangguan di kediaman orang berhutang.

Lagi 63 suspek dipercayai menjadi runner atau penolong yang membantu pemiutang haram melakukan pemindahan wang menggunakan mesin ATM manakala dua suspek dipercayai membantu menjalankan perniagaan pemiutang haram dengan mendaftar bagi talian mudah alih.

Berita Mediacorp melaporkan, baki 143 suspek disyaki membuka akaun bank dan menyediakan kad ATM, nombor pengenalan peribadi (PIN) atau token perbankan internet mereka kepada pemiutang tidak berlesen untuk menjalankan perniagaan masing-masing.

Siasatan terhadap semua suspek sedang dijalankan, kata polis.

Pesalah kali pertama yang disabitkan kesalahan menjalankan atau membantu perniagaan pemiutang tanpa lesen boleh dipenjara hingga empat tahun, didenda antara S$30,000 dengan S$300,000, dan rotan hingga enam kali.

Pesalah kali pertama didapati bersalah melakukan atau cuba melakukan sebarang perbuatan gangguan bagi pihak pemiutang tidak berlesen boleh dihukum penjara hingga lima tahun, denda antara S$5,000 dengan S$50,000, dan sebat antara tiga hingga enam kali.

Polis berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dalam perniagaan pemiutang tidak berlesen, tanpa mengira peranan mereka, dan memastikan mereka dikenakan tindakan undang-undang yang berat.

Ini termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuka atau memberikan akaun bank mereka untuk membantu pemiutang tidak berlesen.

“Pemiutang tidak berlesen semakin kerap menggunakan pesanan teks atau platform online untuk menghantar tanpa tidak diminta iklan berhubung khidmat pinjaman. Orang ramai diingatkan supaya jangan membalas atau menjawab iklan tersebut dan melaporkannya sebagai spam atau mesej tidak berguna,” tambah polis.

Polis juga menasihatkan orang ramai agar menjauhi pemiutang tidak berlesen dan tidak bekerjasama dengan atau membantu mereka dengan cara apa pun.

Orang ramai boleh menghubungi polis atau hotline X-Ah Long di talian 1800-924-5664 sekiranya mereka mengesyaki atau tahu ada orang yang mungkin terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN