MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 17 pesakit maut selepas banjir melanda sebuah hospital di tengah Mexico.
Menurut pihak berkuasa, bencana itu menyebabkan gangguan pada bekalan elektrik dan oksigen.
Hospital yang terletak di pekan Tula di Hidalgo dinaiki air selepas air sungai melimpah akibat hujan lebat, kata kerajaan menerusi Twitter.
“Saya amat sedih dengan kejadian itu yang menyebabkan 17 pesakit meninggal dunia,” kata Presiden Andres Manuel Obrador.
Ketua Pengarah Institut Keselamatan Sosial Mexico, Zoe Robledo berkata, hospital itu dinaiki air dalam beberapa minit dan mengganggu bekalan oksigen.
Dilaporkan, seramai 56 pesakit telah dibawa ke hospital lain.
Media tempatan melaporkan, antara mangsa maut termasuk pesakit Covid-19 yang memerlukan bekalan oksigen. – AFP










