LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menegaskan akan meneruskan operasi pemindahan di Afghanistan selepas serangan pengebom berani mati di Lapangan Terbang Kabul, semalam.
Selepas mengadakan mesyuarat tergempar berhubung situasi semasa di Afghanistan, beliau berkata, pesawat negara itu akan terus melakukan usaha menyelamat sehingga selesai.
“Kita akan teruskan operasi itu mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Sekurang-kurangnya berlaku dua letupan selepas pengebom berani mati menyerang kawasan yang dilimpahi orang ramai sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan ramai mangsa terkorban.
Menurut Johnson, pihak tentera sudah melakukan persediaan bagi melakukan usaha pemindahan sejak berbulan-bulan lalu dan berjaga-jaga dengan sebarang ancaman keselamatan.
“Pengganas sentiasa mencari peluang untuk melakukan serangan. Kami mengutuk serangan yang terlalu hina itu dan kita perlu bersedia sepanjang masa,” jelasnya.
Johnson turut menzahirkan simpati kepada 13 tentera Amerika Syarikat dan puluhan rakyat Afghanistan yang terkorban dalam serangan itu.-REUTERS