ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 50 lagi cedera selepas sebuah bom meletup ketika perarakan pengikut fahaman Syiah di tengah Pakistan.
Pihak berkuasa mengesahkan kejadian itu.
Kawalan keselamatan dipertingkatkan ketika kumpulan minoriti pengikut fahaman Syiah menyambut hari Asyura sempena sambutan bulan Muharam.
“Kami mengesahkan tiga orang maut dan 50 cedera akibat letupan di lokasi perarakan,” kata seorang pegawai kanan kerajaan di bandar Bahawalnagar, wilayah Punjab.
Beberapa video yang dimuat naik di laman media sosial menunjukkan mangsa berlumuran darah terbaring di atas jalan raya dan dibantu oleh orang ramai.
Seorang pegawai polis tempatan, Kashif Hussain juga mengesahkan angka kematian kepada AFP.
“Punca letupan masih belum diketahui dan pasukan penyiasat sedang mengumpul bukti dari lokasi kejadian,” katanya.
Pihak berkuasa juga menggantung perkhidmatan telefon di beberapa bandar utama sebagai langkah keselamatan ketika perarakan Asyura.
Beberapa jalan menuju ke laluan perarakan juga disekat. – AFP










