"Selaku hamba Allah, jangan malu mengaku berdosa, istighfar atau taubat" - Sultan Brunei - Utusan Malaysia

“Selaku hamba Allah, jangan malu mengaku berdosa, istighfar atau taubat” – Sultan Brunei

SULTAN HASSANAL BOLKIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: “Selaku umat yang berakidah, tetap sahaja menaruh harapan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita untuk membersihkan semula bumi ini daripada wabak Covid-19”.

Demikian titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Titah Perutusan Khas yang disiarkan di seluruh negara.

Pelita Brunei melaporkan, baginda bertitah menegaskan bahawa tidak akan berlaku sesuatu itu, kalau bukan dengan izin dan kehendak Allah jua.

“Maka demikian itulah yang sudah terjadi ke atas Brunei. Selama lebih setahun Brunei telah dapat menikmati keadaan selamat (sunyi) daripada jangkitan. Alhamdulillah, kita tidak lupa bersyukur ke hadrat Allah di atas nikmat ini.

“Namun pada 7 Ogos lalu, kita tiba-tiba dikejutkan oleh jangkitan tempatan yang membabitkan tujuh individu. Jangkitan ini meningkat pada hari-hari berikutnya yang tentu saja menambahkan kebimbangan.

“Selaku umat yang berakidah kita memahami bahawa tiada turun sesuatu bala melainkan hanya kerana dosa jua dan tiada berundur bala itu kecuali dengan taubat atau istighfar sahaja,” titah baginda.

Ini titah baginda, dari sejak lama lagi telah pun diisyaratkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 52 tafsirnya: “Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat (rahmat) dan akan menambahkan lagi kekuatan kamu, di samping kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi suruhan-Ku dengan terus melakukan dosa”.

Baginda bertitah menjelaskan, inilah antara ayat istighfar yang menggalakkan kita supaya bertaubat dan manakala taubat itu telah berlaku, maka Allah pun berjanji akan menurunkan rahmat-Nya, termasuk insya-Allah, dengan menarik balik bala bencana dan penyakit, bahkan akan menambahkan lagi kekuatan kita yang sedia ada.

“Adapun kekuatan itu di sini, boleh sahaja disebut sebagai kesihatan, kemakmuran dan keselamatan, insya-Allah,” titah baginda.

Dalam titahnya, baginda mengingatkan selaku hamba Allah, janganlah malu mengaku berdosa dan berat untuk bertaubat.

“Kita tidak tahu, berapa banyakkah dosa kita, sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar, semua itu pembasuhnya, hanyalah satu saja, iaitu istighfar atau taubat.

“Kalau membasuh tangan dengan air atau ‘sanitizer’, tetapi membasuh dosa adalah dengan istighfar dan taubat,” titah baginda.

Sebelum mengakhiri Titah Perutusan Khas tersebut, baginda mengajak rakyat jelata untuk sama-sama munajat mengikhlaskan diri dan merafakkan tangan ke langit berdoa.

Baginda kemudiannya membacakan doa: “Ya Allah, Ya Tuhan kami, kiranya kami ini sudah terlanjur mengkufuri nikmat-Mu dengan kelakuan-kelakuan kami yang Engkau tidak redai, maka Engkau ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami dengan menarik balik wabak koronavirus daripada negara kami. Ya Allah mohon supaya Engkau bersihkan negara kami ini daripada wabak sebersih-bersihnya. Amin”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya