GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sebuah pesawat yang membawa bekalan perubatan yang diperlukan, tiba di Afghanistan, hari ini.
Ia merupakan penerbangan WHO yang pertama ke Afghanistan selepas kumpulan Taliban menguasai negara itu sejak dua minggu lalu.
Dilaporkan, hospital dan klinik di Afghanistan mengalami kekurangan bekalan perubatan, malah serangan di lapangan terbang Kabul juga menyukarkan lagi penghantaran bantuan ke negara tersebut.
Menurut WHO, pesawat itu berlepas dari Dubai dan mendarat di bandar Mazar-i-Sharif di utara Afghanistan.
Jelas agensi itu, pesawat tersebut membawa sebanyak 12.5 tan bekalan perubatan yang akan diagihkan di 40 kemudahan kesihatan di 29 wilayah di seluruh Afghanistan.
Tambah WHO, bekalan itu yang juga mengandungi kit kecemasan mampu menampung keperluan asas lebih 200,000 orang selain menyediakan 3,500 prosedur pembedahan dan merawat 6,500 pesakit trauma.
“Setelah sekian lama mencari jalan penyelesaian, kami kini dapat menghantar bekalan perubatan di fasiliti kesihtan di Afghanistan.
“Agensi seperti WHO menghadapi cabaran besar untuk menghantar bekalan perubatan ke Afghanistan sejak beberapa minggu lalu disebabkan kekangan keselamatan dan logistik,” kata Pengarah Wilayah WHO bagi timur Mediterranean, Ahmad Al-Mandhari.
Ahmad juga mengucapkan terima kasih kepada Pakistan yang menyediakan pesawat untuk penghantaran bekalan perubatan itu ke Afghanistan.
Ia merupakan penerbangan pertama daripada jumlah tiga penerbangan yang dirancang bersama Pakistan International Airlines. – AFP










