HANOI: Rancangan Vietnam untuk menghalang penduduk di bandar Ho Chi Minh meninggalkan rumah mereka bermula esok, menyebabkan situasi pembelian panik dalam kalangan penduduk.
Vietnam News Agency melaporkan situasi itu menyukarkan lagi usaha terbesar di negara itu membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.
Hasil pemerhatian mendapati orang ramai sanggup beratur panjang di luar pasar raya sehingga rak-rak barangan dan makanan menjadi kosong.
Seorang pembeli, Nyugen berkata, dia menyaksikan keadaan yang sangat sesak dengan kehadiran orang ramai di kawasan pasar.
“Terlalu ramai yang keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan sebagai persediaan menghadapi perintah berkurung esok.
“Saya berjaya membeli beberapa makanan kerana tidak mahu mati kelaparan sebelum maut akibat Covid-19,” katanya kepada Reuters.
Jumaat lalu, Vietnam mengumumkan akan mengerahkan pasukan tentera di bandar itu bagi menguatkuasakan perintah berkurung dan menghantar makanan kepada penduduk.
Vietnam merekodkan kes keseluruhan jangkitan Covid-19 sebanyak 323,000 kes dengan 7,540 kematian.
Ho Chi Minh paling terjejas teruk apabila 80 peratus kes kematian sahaja melibatkan bandar itu.-REUTERS