SINGAPURA: Kajian yang dijalankan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) mendapati separuh daripada bilangan orang Melayu yang ditinjau berasa ‘amat bimbang’ dengan keadaan kewangan keluarga mereka di tengah-tengah pandemik.
Berita Mediacorp melaporkan, kajian yang sama turut mendapati tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 pada tahun lalu meninggalkan kesan yang tidak sama rata antara keluarga, termasuk keluarga Melayu.
Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, Masagos Zulkifli dalam catatan Facebooknya.
Walaupun berdepan masa yang sukar, Masagos memuji sikap masyarakat Melayu yang tidak putus-putus saling membantu golongan yang memerlukan dan mengamalkan semangat gotong-royong dalam mengharungi krisis Covid-19.
Malah, menurut beliau, salah seorang penulis kajian berkenaan juga berkata, terdapat sokongan berlebihan dalam kalangan masyarakat Melayu berbanding kaum-kaum lain.
“Saya terharu dengan pandangan Dr. Daly, salah satu penulis kajian tersebut yang menyatakan terdapat sokongan yang berlebihan dalam kalangan masyarakat Melayu, jika dibandingkan dengan kaum lain. Ini amat memberangsangkan,” jelas Masagos.
Selain daripada individu, inisiatif pelbagai pihak turut menjalin kerjasama di bawah Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu untuk mengukuhkan lagi sokongan yang dihulurkan kepada golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, semangat kerjasama yang unik itu membolehkan pasukan bertindak tersebut untuk menghulurkan bantuan tepat kepada mereka yang lebih terjejas seperti pemohon kerja, syarikat-syarikat, golongan asatizah dan keluarga-keluarga berpendapatan rendah.
“Bantuan segera yang dihulurkan rakan-rakan masyarakat juga menunjukkan contoh jati diri Masyarakat Gemilang kita iaitu keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan,” katanya.
Kerjasama antara pemerintah dan badan-badan masyarakat pula akan terus kekal penting, sedang Singapura mengorak langkah sebagai negara berdaya tahan terhadap Covid-19, menurut Masagos sebelum mengakhiri catatannya.