ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan bertungkus-lumus untuk menanam kira-kira 10 bilion batang pokok bagi mengurangkan masalah jerebu di negara ini.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menerusi ucapannya menggesa penduduk di negara ini supaya mengambil serius mengenai perubahan iklim, terutamanya selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan mengenai perkara tersebut semalam.
Imran sebelum itu merasmikan projek hutan Miyawaki yang disifatkan paling besar di dunia iaitu merangkumi kawasan seluas 5.1 hektar dan mempunyai lebih 165,000 tanaman.
Pegawai kerajaan memaklumkan, pokok-pokok yang ditanam dalam projek tersebut akan tumbuh 10 kali lebih cepat berbanding keadaan biasa berikutan menggunakan teknik yang diperkenalkan oleh pakar botani Jepun, Akira Miyawaki.
Projek Miyawaki itu merupakan satu daripada 53 tapak hutan yang akan dibangunkan di Lahore dan bakal berfungsi sebagai penapis karbon.
Bandar yang dihuni kira-kira 10 juta penduduk itu sering berdepan dengan masalah jerebu sejak beberapa tahun ini, sehingga memaksa sekolah ditutup dan dimasukkan dalam senarai bandar paling tercemar di dunia. – REUTERS










