NEW DELHI: Seorang lelaki bertindak di luar kawal apabila menggigit seekor ular sehingga haiwan berbisa itu mati.
Lapor News 18, tindakan gila itu dilakukan selepas kaki Kishore Badra digigit ular berkenaan dalam satu kejadian di Gambharipatia, Salijanga, baru-baru ini.
Lelaki berusia 45 tahun itu menceritakan, dia digigit ular berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja di sawah pada Rabu lalu.
“Ketika saya berjalan, saya berasa seperti sesuatu menggigit kaki saya dan mendapati ada seekor ular cuba membelit kaki saya.
“Sebagai balas dendam, saya mengambil ular itu menggunakan tangan dan menggigitnya berulang kali sehingganya mati,” katanya.
Kemudian, Badra membawa bangkai ular itu ke rumahnya dan menceritakan insiden terbabit kepada isterinya.
Selepas itu, Badra menunjukkan bangkai ular tersebut kepada rakan-rakannya, selain enggan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Walaupun saya menggigit ular berbisa, namun tiada apa yang berlaku dan saya rasa sihat,” ujarnya.










