NEW DELHI: Kerajaan India dilaporkan membawa pulang duta dan semua diplomat lain dari Afghanistan atas faktor keselamatan, kata Kementerian Luar.
Lapor BBC, menurut kementerian itu, sebuah pesawat khas tentera udara India yang menerbangkan individu berkenaan, mendarat di pangkalan udara Hindon berhampiran New Delhi.
Pesawat itu membawa kira-kira 150 orang termasuk diplomat, pegawai, anggota keselamatan dan beberapa rakyat yang terkandas di Afghanistan.
Menteri Luar India, S. Jaishankar menyifatkan proses pemindahan itu sebagai amat sukar.
“Saya berasa gembira dapat kembali semula ke India secara selamat,” kata Duta India ke Afghanistan, Rudrendra Tandon kepada media tempatan.
Ketika ini, ruang udara komersial ditutup dan tentera luar sedang berusaha untuk memastikan lapangan terbang di Kabul masih beroperasi di tengah-tengah konflik.
Menurut Rudrendra, terdapat beberapa rakyat India yang masih terkandas di Afghanistan.
Katanya, mereka akan dibawa pulang sejurus selepas perkhidmatan penerbangan komersial mula beroperasi. – AGENSI










