Hubungan Singapura-Malaysia terjalin kukuh - Utusan Malaysia

Hubungan Singapura-Malaysia terjalin kukuh

LEE Hsien Loong berkongsi gambar beliau menghubungi Ismail Sabri Yaakob bagi mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. - FB LEE HSIEN LOONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengundang rakan sejawatannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura.

Menerusi panggilan telefon pagi tadi, Hsien Loong menegaskan hubungan antara kedua-dua negara sudah sekian lama terjalin, kukuh dan luas, lapor Berita.mediacorp.

Perkara itu disampaikan oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut MFA, kedua-dua perdana menteri itu menantikan masa untuk bekerja rapat dalam menangani cabaran yang dikongsi bersama seperti pandemik Covid-19.

Dalam surat ucapan tahniah yang berasingan oleh Hsien Loong, beliau turut menarik perhatian mengenai cara Ismail Sabri menangani pandemik sebagai pengerusi bersama Jawatankuasa Tugasan Khas mengenai Covid-19 Singapura-Malaysia.

“Beliau sudah banyak menyumbang untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dengan menyelia pergerakan berterusan orang ramai dan barangan merentasi sempadan.

“Dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan pemerintah, termasuk pernah menerajui beberapa kementerian sebelum pelantikan anda selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan, saya yakin Malaysia akan terus makmur di bawah kepemimpinan anda sebagai Perdana Menteri,” tulis Hsien Loong.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN