Gagal tangani Covid-19, pegawai dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Gagal tangani Covid-19, pegawai dikenakan tindakan

PENDUDUK beratur untuk melakukan ujian asid nukleik bagi mengesan jangkitan Covid-19 di Wuhan, wilayah Hubei, China. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Lebih 40 pegawai tempatan di China dikenakan tindakan tegas kerana gagal menangani pandemik Covid-19 khususnya penularan varian Delta yang semakin meningkat di negara itu.

Lapor CNN, tindakan itu diambil ketika pihak berkuasa bergelut untuk mengekang kemunculan jangkitan terburuk wabak Covid-19 di negara itu sejak lebih setahun lalu.

Pegawai yang gagal menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan Covid-19 dengan segera, terpaksa berdepan tindakan disiplin.

Berdasarkan kenyataan rasmi dan laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 47 pegawai dari kerajaan tempatan, suruhanjaya kesihatan, hospital dan lapangan terbang dikenakan tindakan kerana kecuaian.

Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI) menerusi kenyataan memaklumkan, seramai 15 pegawai di Nanjing dikenakan tindakan kerana membiarkan penularan jangkitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing Lukou.

Dilaporkan, kes Covid-19 di China bermula dari kluster lapangan terbang di Nanjing apabila sembilan pekerja pembersihan disahkan positif jangkitan itu pada 20 Julai lalu.

Jelas kenyataan itu, tiga pegawai di lapangan terbang sedang disiasat oleh pihak berkuasa wilayah dan dua daripadanya telah ditahan.

Menurut kenyataan itu, pegawai lain termasuk Timbalan Datuk Bandar Nanjing dikenakan pelbagai tindakan daripada penggantungan hingga diberi amaran.

Di Zhangjiajie, seramai 18 pegawai dikenakan tindakan selepas didapati lambat bertindak untuk menangani masalah tersebut.

Media tempatan melaporkan, Suruhanjaya Tatatertib Yangzhou mengeluarkan amaran terhadap enam pegawainya dan mengkritik dua lagi kerana tidak mengendalikan pusat ujian saringan Covid-19 dengan
betul. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN