fbpx

23 September 2021, 8:23 am

  TERKINI

Covid-19: UK gesa wanita hamil dapatkan suntikan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pihak berkuasa kesihatan Britain menggesa lebih ramai wanita hamil untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

Gesaan itu dibuat selepas satu kajian yang dijalankan di peringkat nasional mendapati varian Delta mampu meningkatkan risiko gejala yang teruk.

Ketua Pegawai Perbidanan England, Jacqueline Dunkley-Bent menerusi satu surat kepada pengamal perubatan am dan bidan meminta mereka menggalakkan wanita hamil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, ia amat penting kerana data terbaharu menunjukkan peningkatan penyakit teruk dalam kalangan wanita hamil yang dimasukkan ke hospital dengan gejala virus.

“Oleh itu, saya meminta wanita hamil untuk melindungi diri sendiri dan anak dalam kandungan,” katanya.

Kolej Diraja Obstetrik dan Ginekologi (RCOG) dan Kolej Bidan Diraja (RCM) juga mengesyorkan vaksinasi untuk wanita hamil.

Agensi Kesihatan Awam England (PHE) mengesyorkan wanita hamil mendapatkan vaksin Covid-19 Moderna dan Pfizer-BioNTech kerana telah diberikan kepada lebih 130,000 golongan itu di Amerika Syarikat (AS).

Kajian berdasarkan data dari Sistem Pengawasan Obstetrik United Kingdom (UK) menunjukkan jumlah wanita hamil yang dimasukkan ke hospital dengan jangkitan sederhana sehingga teruk meningkat ketara selepas varian Delta menjadi dominan pada Mei lalu.

Kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidik Universiti Oxford mendapati wanita hamil yang dimasukkan ke hospital ketika penularan varian Delta lebih cenderung mendapat pneumonia, dengan satu pertiga daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan. – AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI