WELLINGTON: New Zealand mencatatkan 41 kes baharu Covid-19 hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara ini sebanyak 149.
Lapor Al Jazeera, perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Ashley Bloomfield.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 38 kes Covid-19 dikesan di Auckland manakala tiga lagi di Wellington.
“Pesakit Covid-19 paling muda merupakan seorang bayi.
“Sebahagian besar kes positif Covid-19 dari etnik Samoa yang dikaitkan dengan sebuah gereja,” katanya dalam sidang akhbar.
Berdasarkan laporan, sebanyak 58 kes Covid-19 berkaitan dengan gereja tersebut.
“Ini termasuk penduduk yang melakukan perkhidmatan gereja dan kontak rapat mereka,” jelas laporan itu.
Akhbar Sydney Morning Herald memetik kenyataan Bloomfield sebagai berkata, beliau sudah berbincang dengan Setiausaha Jabatan Kesihatan Australia, Prof. Dr. Brendan Murphy mengenai sifat varian Delta.
Kata Bloomfield, beliau bersetuju dengan pandangan Murphy bahawa usaha memerangi varian Delta dalam masyarakat adalah seperti menangani virus baharu.
“Inilah yang turut dialami di New Zealand. Varian Delta bukan seperti pengalaman sebelumnya.
“Seperti kita ketahui, ia pantas menular dan mudah dijangkiti,” katanya. – AGENSI