BEIJING: China melakukan latihan ketenteraan berhampiran barat daya serta tenggara Taiwan semalam selepas mendakwa negara itu melakukan ‘provokasi dan gangguan luar’.
Taiwan sebelum ini ‘mengadu’ tentang tentera China yang sering melakukan latihan ketenteraan berhampiran kawasan sekitar negara itu sejak dua tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) memaklumkan kapal perang, pesawat anti kapal selam dan jet pejuang dikerahkan berhampiran Taiwan untuk melakukan latihan ketenteraan.
Kenyataan itu juga menyatakan, Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan ‘berulang kali mencetuskan provokasi dan menghantar isyarat salah yang boleh menjejaskan kedaulatan China dan menjejaskan perdamaian serta kestabilan di Selat Taiwan.
“Latihan ketenteraan ini merupakan satu tindakan keperluan berdasarkan situasi terkini di sekitar Selat Taiwan dan melindungi kedaulatan China,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Taiwan tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Pada awal bulan ini, AS meluluskan pakej penjualan senjata baharu kepada Taiwan yang bernilai AS$750 juta (RM3.2 bilion). – REUTERS










