BAITULMUQADDIS: Seorang penulis Israel mendedahkan 77 peratus penduduk di kota lama Baitulmuqaddis adalah orang Islam, sementara, 10 peratus lagi adalah penduduk haram Israel.
Menerusi artikel yang disiarkan oleh Institut Politik dan Perhubungan Awam Jerusalem yang diterjemahkan oleh Arab21, Nadav Shragai berkata, statistik menunjukkan 24 peratus kawasan itu dimiliki oleh Majlis Wakaf Islam dengan keluasan 21 hektar termasuk Masjid Al-Aqsa, 14.4 hektar.
Jelasnya, 29 peratus lagi dikuasai oleh institusi agama Kristian dan gereja 25.5 hektar, manakala, 27 peratus pula hak milik peribadi oleh bangsa Arab dengan 23.5 hektar serta 20 peratus dikuasai Israel bersamaan 17 hektar.
Dalam masa sama, penyelidik Israel, Yisrael Cemhi berkata, daripada 870 hektar tanah di Baitulmuqaddis, 450 hektar digunakan untuk pembinaan rumah, 270 hektar pula untuk institusi agama dan pendidikan.
Katanya, terdapat 6,187 apartmen di kawasan itu dengan 3,622 dalam kawasan orang Islam, 1,295 penduduk Kristian dan 677 orang Armenia serta 493 penduduk Israel.
“Kawasan paling ramai penduduk adalah di bahagian penduduk Islam dengan populasi mencecah 158 orang setiap hektar, sementara, 80 orang bagi setiap hektar di kawasan Yahudi.
“Bilangan penduduk Islam semakin bertambah sejak 1967 hingga hari ini. Faktor itu disebabkan oleh aspirasi penduduk Palestin untuk memelihara kawasan suci umat Islam dan Arab di kota lama itu,” jelasnya.
Faktor kedua pula jelas beliau, disebabkan krisis perumahan yang berpunca daripada perancangan dan dasar yang menghalang pembinaan baharu oleh orang Arab di Baitulmuqaddis Timur. -AGENSI










