AS mahu lanjut atau tidak tempoh pemindahan penduduk di Afghanistan? - Utusan Malaysia

AS mahu lanjut atau tidak tempoh pemindahan penduduk di Afghanistan?

ANGGOTA tentera Amerika Syarikat (AS) membantu operasi membawa keluar rakyat asing dan penduduk Afghanistan dari Kabul di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Amerika Syarikat (AS) berdepan kesuntukan masa dan tekanan daripada sekutunya berhubung tempoh pemindahan penduduk dari Afghanistan.

Menerusi persetujuan dengan Taliban, tentera AS dan sekutunya perlu meninggalkan negara ini selewat-lewatnya 31 Ogos ini.

Namun, Perancis, United Kingdom (UK) dan Jerman menggesa supaya tempoh itu dilanjutkan lagi memandangkan masih ramai rakyat negara asing masih terkandas di Kabul.

Menurut sumber kepada Reuters, Presiden AS, Joe Biden dijangka membuat keputusan dalam tempoh 24 jam sama ada untuk melanjutkan tempoh pengunduran tenteranya atau tidak.

Namun, Taliban menegaskan mereka tidak akan membenarkan sebarang lanjutan operasi pemindahan penduduk kerana hal itu akan mencabul persetujuan sebelum ini.

Kumpulan itu juga memberi amaran AS dan sekutunya bakal ‘tanggung akibat’ jika mereka gagal mengikut garis masa yang ditetapkan.

Puluhan ribu penduduk termasuk rakyat asing sudah dibawa keluar dari negara ini, namun situasi di lapangan terbang Kabul masih sesak dengan orang ramai yang mahu melarikan diri.

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian berkata, masa tambahan amat diperlukan untuk memastikan semua pihak dapat dibawa keluar dari Afghanistan dengan selamat.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas pula memaklumkan beliau sudah mengadakan perbincangan dengan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Taliban mengenai isu berkenaan.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dijangka mendesak AS untuk melanjutkan tempoh pemindahan ketika menyertai sidang kemuncak bersama barisan pemimpin negara G7 hari ini.

UK menegaskan, semua tentera luar di Kabul tidak boleh teruskan misi pemindahan tanpa pasukan tentera AS.

Menurut White House, kira-kira 50,000 rakyat asing dan penduduk Afghanistan sudah meninggalkan negara ini sejak 14 Ogos lalu.

 

Ke mana pelarian Afghanistan tuju?

Negara jiran Afghanistan iaitu Pakistan dan Iran menjadi destinasi utama untuk pelarian negara ini mendapatkan perlindungan.

Hampir 1.5 juta penduduk Afghanistan lari ke Pakistan pada 2020, manakala Iran pula menerima 780,000 pelarian negara ini.

Jerman menjadi negara ketiga paling banyak menerima kemasukan pelarian Afghanistan iaitu lebih 180,000, manakala Turki pula menerima 130,000 orang.

Indonesia menjadi satu-satunya negara Asia Tenggara yang menerima pelarian Afghanistan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya