N’DJAMENA: Seramai 22 orang maut dalam satu pertempuran antara petani dan pengembala di wilayah tengah Chad, kata pihak berkuasa.
“Konflik itu tercetus disebabkan pertikaian tanah antara dua komuniti dengan satu pihak mahu berpindah masuk ke sana dan satu lagi enggan membenarkannya,” kata Gabenor Wilayah Hadjer-Lamis, Amina Kodjiana kepada AFP.
Jelas beliau, pergaduhan yang tercetus pada Sabtu lalu, menyebabkan penduduk Boulala menentang orang Arab di kampung Zohana, kira-kira 200 kilometer (km) dari timur N’Djamena.
Menurut Kodjiana, seramai 18 orang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Abdramane Koulamallah berkata, pasukan tentera dikerahkan untuk menjaga ketenteraman.
Pergaduhan antara komuniti merupakan perkara biasa di wilayah tengah dan selatan Chad.
Ketegangan antara penduduk asli petani dan pengembala Arab nomad di Sahel berlangsung sejak bertahun lalu dan ada kalanya meletuskan pertempuran yang mengorbankan nyawa. – AFP










