JEDDAH: Lebih 20,000 jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi bakal menunaikan umrah bermula 10 Ogos dan negara ini sudah bersedia menyambut kedatangan mereka.
Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saeed berkata, kebenaran hanya diberikan kepada jemaah dari negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Katanya, antara negara yang dilarang masuk ke Arab Saudi adalah India, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Vietnam, Afghanistan dan Lubnan.
Lapor Saudi Gazette, larangan itu dikuatkuasakan susulan peningkatan kes Covid-19 di semua negara berkenaan.
Dalam pada itu, kira-kira 500 syarikat yang menawarkan perkhidmatan umrah dan lebih 6,000 ejen umrah bersiap sedia terima kehadiran jemaah dari luar yang sudah divaksin.
Jemaah yang berhasrat menempah pakej umrah boleh mebuat bayaran menerusi 30 laman web dan platform elektronik yang disediakan bagi tempahan global.
Hanya mereka yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan memohon visa umrah.
Calon umrah juga perlu dalam keadaan sihat dan mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan jemaah luar.










