TRIPOLI: Seramai 120 pendatang asing tanpa izin berjaya diselamatkan dan dihantar ke Libya.
Lapor Xinhua, Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) mengesahkan perkara tersebut.
“Pada pagi ini, kira-kira 120 orang diselamatkan atau dipintas oleh pasukan Pengawal Pantai Libya menerusi dua operasi yang dijalankan.
“Kesemua individu itu dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Tripoli yang mana UNHCR dan pasukan perubatan IRC akan memberikan bantuan kemanusiaan segera,” jelas agensi itu.
Libya berdepan konflik sejak kejatuhan pemimpinnya Muammar Gaddafi pada tahun 2011 sehingga menjadikan negara Afrika Utara itu lokasi pilihan bagi pendatang asing tanpa izin yang mahu menyeberangi Laut Mediterranean ke Eropah.
Setakat ini, lebih 20,000 pendatang tanpa izin termasuk wanita dan kanak-kanak berjaya diselamatkan sementara ratusan lain maut atau hilang di perairan Libya di laluan Mediterranean Tengah, jelas Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM). – AGENSI