LONDON: Seorang wanita dari Walsham utara mempunyai hobi pelik apabila cuba merakam gambar setiap batu nisan yang berada di sekitar daerah kediamannya.
Lapor Mirror, Lou Cocker, 48, setakat ini memiliki lebih 220,000 keping gambar batu nisan dan peringatan yang dirakam di kira-kira 700 tapak perkuburan di Norfolk.
Bagaimanapun, Cocker berkata, dia hanya berjaya melengkapkan kira-kira 70 peratus projek luar biasa itu kerana batu nisan baharu semakin bertambah setiap hari di Norfolk.
Koleksi gambar batu nisan dirakam oleh Cocker berasal dari tahun 1600-an sehingga kini.
Malah, Cocker dan ibunya, Angele Parke mengakui pernah membersihkan beberapa batu nisan lama agar ukirannya kelihatan jelas apabila merakam gambar.
Dilaporkan, Cocker menghabiskan masa lebih sedekad lama untuk mengumpulkan koleksi gambar batu nisan.
Katanya, dia juga akan mendokumenkan maklumat yang terdapat pada setiap batu nisan dan menghantar semua butiran itu kepada laman sesawang.
Jelas Cocker, langkah itu sedikit sebanyak akan membantu individu yang sedang mengesan ahli keluarga mereka yang dikebumikan di Norfolk.
“Saya rasa perkara ini amat penting untuk generasi akan datang agar mereka dapat mengesan semula ahli keluarga mereka,” katanya. – AGENSI