NEW DELHI: Golongan wanita beragama Islam di India berdepan penghinaan paling teruk apabila ratusan daripada mereka ‘dilelong’ dalam laman web yang dikenali sebagai ‘Sulli Deals’.
Kebanyakan mangsa yang terlibat bergiat aktif dalam media sosial seperti Twitter, mendapati gambar profil mereka dipamerkan dalam Github iaitu platform laman web menggunakan aplikasi sumber terbuka seperti ‘Sulli Deal of the Day’.
Aplikasi itu memberi peluang kepada penggunanya ‘membida’ wanita Islam yang mereka suka dalam lelongan olok-olok.
Sehubungan itu, polis kini menyiasat dalang di sebalik insiden tersebut dan Github dilaporkan sudah menutup laman web berkenaan kerana ‘melanggar polisi’.
Namun, keputusan itu tidak meredakan kemarahan wanita Islam di negara ini dan istilah ‘sulli’ adalah satu penghinaan bagi wanita Islam yang sering digunakan oleh nasionalis Hindu.
Pada Khamis lalu, polis Delhi memfailkan satu kes terhadap ‘individu tidak diketahui’ mengikut perundangan 354A Seksyen IPC (serangan seksual) susulan satu aduan yang diterima menerusi Portal Laporan Jenayah Siber Kebangsaan.
“Polis sudah membuka kertas siasatan untuk isu ini dan kami akan menyiasat dengan teliti,” kata jurucakap polis Delhi, Chinmoy Biswal seperti yang dipetik Arab News.
Namun, segelintir wanita berasa ragu-ragu polis akan melakukan siasatan terperinci mengenai kes berkenaan.
Sementara itu, banyak gambar wanita yang dimuat naik dalam laman web berkenaan terdiri dari personaliti wanita Islam terkenal termasuk penyelidik, juruterbang, wartawan dan seniman.
Seorang daripadanya termasuk Hana Khan yang berkhidmat sebagai juruterbang.










